Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Seramai 62 pelajar Sekolah Menengah Berakas menerima sijil dan diraikan dalam Majlis Graduasi BTEC 2025 yang berlangsung di Dewan Anggerek, Sekolah Menengah Berakas, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil dan anugerah kepada para penerima yang diraikan ialah Pegawai Pendidikan Kanan, Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dr Haji Sahrunizam bin Haji Kasah.
Dalam majlis berkenaan, Pengetua Sekolah Menengah Berakas, Cikgu Hajah Norhashimah binti Haji Burut menyatakan bahawa majlis itu merupakan satu detik bersejarah bagi para pelajar jurusan BTEC Hospitality, Information Technology dan BTEC+5 Tahun 2022, 2023 dan 2024.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan mereka berjaya menamatkan pengajian yang mana ia bukannya suatu pencapaian yang mudah tetapi menuntut kesungguhan, pengorbanan serta semangat yang kental daripada mereka.
“Kejayaan ini adalah bukti bahawa setiap usaha, walau sekecil mana pun, akan membuahkan hasil jika disulami dengan keikhlasan dan disiplin diri.”
Cikgu Hajah Norhashimah berkata lagi, “Kamu bukan sahaja telah menamatkan satu fasa pembelajaran, tetapi juga telah membuktikan bahawa kamu mampu menghadapi cabaran dan menempuh perjalanan yang mencabar.”
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga dan guru-guru atas sokongan serta bimbingan yang diberikan kepada pelajar-pelajar berkenaan.
Beliau juga menyatakan kepada para pelajar bahawa walaupun mereka sudah tamat persekolahan, ia bukan titik noktah tetapi sebaliknya ia merupakan satu permulaan baharu ke arah masa depan yang lebih mencabar.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada seramai 62 pelajar bagi program Pearson BTEC International Level 2 Extended Certifucate in Hospitality dan Pearson BTEC International Level 2 Extended Certificate in Information Technology.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Best Progress, Anugerah Pelajar Outstanding Achievement Award, Legacy Teacher Award (Teaching BTEC 2022-2025) dan The Flame of Knowledge Award BTEC Subject Teacher More Than 5 Years.
Pada masa yang sama, majlis berkenaan turut meraikan kejayaan 18 guru.







