Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seramai 210 pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat Tahun 6 di sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan pagi tadi diraikan pada Majlis Hafl At-Takharruj bertempat di Dewan Salma 2, Kompleks Impiana Jaya, Kiulap.
Majlis berkenaan bertujuan mendukung ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Majlis yang diadakan itu diselajurkan dengan majlis penyampaian hadiah kepada guru-guru dan pelajar-pelajar cemerlang.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Unit Perhubungan Awam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Izwandy bin Haji Hamdan, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, diikuti bacaan ayat suci Al-Quran berserta intisari ayat.
Acara kemudian disusuli dengan lagu kebangsaan dan lagu rasmi sekolah. Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh Guru Besar sekolah, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut selaku pengerusi majlis.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar cemerlang 5A Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), dan hadiah kepada tiga pelajar terbaik dari setiap kelas.
Majlis juga menyaksikan penyampaian penghargaan khas kepada guru-guru cemerlang; penyampaian hadiah pelajar terbaik keseluruhan Sanah 6; penyampaian Anugerah Khas Pelajar Mutafawwiqah; dan penyampaian Anugerah Guru Dedikasi, Komited dan Berjasa.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan Kalam Jamaie 3 Bahasa dan persembahan lagu Kita Satu Keluarga oleh pelajar-pelajar Sanah 6 dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis berkenaan diadakan untuk membarigakan dan memartabatkan pendidikan Islam dan Arab kepada masyarakat Negara Brunei Darussalam; menzahirkan kegembiraan, kesyukuran serta penghargaan di atas kejayaan para pelajar di dalam peperiksaan
PSR serta penilaian dalaman sekolah.
Selain itu, ia juga memotivasikan pelajar-pelajar persekolahan Arab untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan akademik.