Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Seramai 325 orang pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah diraikan pada Majlis Hafl At-Takharruj ke-30 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Majlis berkenaan meraikan pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan BC GCE A Level bagi tahun 2023.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 268 orang pelajar menerima STPUB, dan 44 orang pelajar menerima sijil BC GCE A Level, dengan seramai 13 orang pelajar yang mengambil jurusan Arab dan Umum telah menerima kedua-dua sijil peperiksaan awam tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis Hafl At-Takharruj diadakan untuk membarigakan dan memartabatkan pendidikan Islam dan Arab kepada masyarakat Negara Brunei Darussalam. Ia juga bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan, kesyukuran serta penghargaan di atas kejayaan pelajar di dalam Peperiksaan STPUB dan BC GCE A Level.




Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran berserta terjemahan; Selawat Tafrijiyyah; lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan lagu rasmi sekolah. Ia diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Azizah binti Haji Mohamad, yang juga selaku pengerusi majlis.
Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada para penuntut sebelum penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar yang diraikan disusuli dengan penyampaian Anugerah Pelajar Mithali dan Penghargaan Khas kepada 11 orang pelajar secara keseluruhannnya.
Bagi Anugerah Pelajar Mithali telah dinobatkan kepada Awangku Mohammad Idris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim.
Sementara itu, hadiah-hadiah bagi Penghargaan Khas yang dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu kategori Penghargaan Khas Al-Imitiyaz STPUB telah diberikan kepada Dayang Balqis Syahirah binti Haji Rolzaman, Awang Muhammad Syazwan bin Norsahrul dan Hajah Nurul Anishah Khairina binti Haji Rozaiman; kategori Penghargaan Khas Al-Imtiyaz BC GCE A Level telah diterima oleh Awangku Muhammad Fauzan Al-Hadey bin Pengiran Damit; dan kategori Penghargaan Khas Mumarisul Lughah Al-Arabiyyah telah disandang oleh Awang Mohammad Akmal Ikhwan bin Roslan dan Awangku Radin Adi Firdaus bin Pengiran Junaidi.
Manakala Dayang Nuwairah Hus-na binti Mahmud selaku penerima hadiah bagi kategori Penghargaan Khas Pencapaian Konsisten STPUB; dan Awang Nur Hapidz bin Ziziumiza menerima hadiah bagi kategori Penghargaan Khas Pencapaian Konsisten BC GCE A Level.
Bagi kategori Penghargaan Khas SMALHB telah diberikan kepada Awang Mohammad Zahin bin Norsidi dan Awang Muhammad Jihadulhaq bin Najhe; dan Penghargaan Khas Kokurikulum telah dirangkul oleh Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abdul Rajid.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Mohd Saiful Wafi bin Haji Adis.

