Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis hargai 233 pesara awam Kem Pertahanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Kementerian Pertahanan mengadakan Majlis Penyampaian Sijil kepada pesara-pesara awam dan penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Halbi hadir selaku tetamu kehormat.

    Seramai 233 pesara awam Kementerian Pertahanan yang bersara pada 2022, 2023 dan 2024 menerima sijil penghargaan dan cenderamata serta penyampaian sijil kepada tiga penerima APCPA bagi 2024 dan 2025, yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Bahagian II, III, IV dan V.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Guru Ugama dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMAAT), Ustaz Muhd Nur Amin bin Haji Jali dan diikuti dengan penyampaian Tadabbur Al-Quran oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, JAMAAT, Ustaz Haji Mohammad Rif’at Atiyah bin Anwari.

    Majlis diikuti dengan ucapan daripada Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Puan Poh Kui Choon serta ucapan daripada wakil pesara, Pengiran Haji Zulkipli bin Pengiran Haji Salleh.

    Puan Poh Kui Choon menyampaikan ucapan.

    Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para penerima yang diraikan dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pemangku Pengarah JAMAAT, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.

    Antara suasana semasa majlis berkenaan.

    Majlis berkenaan diadakan bagi menghargai jasa dan khidmat bakti para pesara kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya di Kementerian Pertahanan serta sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pegawai-pegawai dan kakitangan Bahagian II, III dan IV.

    Semua di atas antara yang menerima penghargaan berkenaan.

    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar-gambar oleh Rafi Rosli
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda