Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis hargai golongan OKU

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Kira-kira 200 orang menghadiri Majlis Qalbun Salim bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (OKU) 2023, bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) itu diadakan adalah bagi melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada golongan OKU yang meraih pencapaian dalam perkembangan masyarakat.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang, Awang Muhd Khaizuran Amali bin Haji Kamsani. Seterusnya ceramah khas bertajuk Syukuri Anugerah Ilahi yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.

    Majlis seterusnya diselajurkan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, Doa Kesyukuran Khas OKU, doa memohon kepada Allah supaya terhindar daripada wabak dan doa keselamatan untuk rakyat dan negara Palestin. Majlis diakhiri dengan solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Awang Muhd Khaizuran.

    Majlis itu juga telah menjemput seorang juru alih bahasa isyarat, Awang Aziz bin Assan, dari Persatuan Bahasa Isyarat-Juru Alih Bahasa Kitani (BI-JAK) bagi menggalakkan masyarakat yang inklusif maklumat terutama kepada golongan OKU pendengaran.

    Turut hadir ialah setiausaha–setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya, ahli-ahli Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan persatuan-persatuan di bawahnya serta rakan-rakan strategik KKBS.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir pada Majlis Qalbun Salim bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda