Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis hargai kerjasama jabatan kehakiman, firma guaman

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Laksamana College of Business (LCB) mengadakan Majlis Makan Tengah hari Penghargaan untuk menghargai Jabatan Kehakiman dan ahli-ahli perundangan Brunei atas sokongan dan kolaborasi berterusan dalam Program Undang-undang dan peluang latihan amali (internship) bagi pelajar-pelajar, dalam majlis yang berlangsung di The Chef Restaurant, The Culinary School by LCB, kelmarin.

    Majlis itu dihadiri oleh Pemangku Ketua Pendaftar dan Ketua Majistret, Yang Arif Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail dan Pendaftar Kanan, Yang Arif Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin, yang mewakili Jabatan Kehakiman.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam dan Rakan Kongsi Pengurusan ZS Legal Advocates & Solicitiors, Haji Muhammad Zainidi bin Haji Abdul Hamid bersama wakil-wakil daripada firma-firma guaman termasuk AIP Law, Cheok Advocates & Associates, HLR Law Advocates & Solicitors, LZ Hussain & Co, Omar and Khan Advocates & Solicitors, RAED Lim Advocates & Solicitors dan Rudi Lee & Annie Kon & Associates.

    Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Pengetua LCB, Dr Sivarajah Subramaniam merakamkan penghargaannya kepada Jabatan Kehakiman dan firma-firma guaman bagi bimbingan dan kerjasama mereka yang mana kolaborasi industri seumpama itu amat penting dalam melatih pelajar-pelajar dengan kemahiran serta gambaran yang diperlukan bagi kerjaya perundangan yang berjaya.

    Dr Sivarajah Subramaniam menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan.

    Beliau menambah, “Kerjasama kami dengan Jabatan Kehakiman dan firma undang-undang yang dihormati mencerminkan visi bersama untuk memupuk pelajar yang berkebolehan, beretika dan sedia mengamalkan, yang menyumbang secara bermakna kepada landskap perundangan Brunei.”

    Sementara itu, wakil pelajar undang-undang, Dayangku Nur Amanina Bazilah binti Pengiran Hassanal Hairuddin dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas peluang latihan amali dan bimbingan yang diberikan oleh Jabatan Kehakiman dan firma-firma yang mengambil bahagian.

    Dayangku Nur Amanina Bazilah menyampaikan ucapan penghargaan.

    Semasa majlis berkenaan, sijil latihan amali telah disampaikan kepada pelajar-pelajar Undang-Undang LCB yang berjaya menamatkan penempatan mereka dan diikuti dengan penyampaian Cenderahati Penghargaan kepada Jabatan Kehakiman dan semua firma guaman yang menyertai program untuk mengiktiraf sokongan berterusan mereka.

    Acara itu mencerminkan komitmen berterusan LCB kepada mengukuhkan kerjasama industri dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna yang mempersiapkan pelajar-pelajar bagi kejayaan dalam kerjaya perundangan.

    Semua di atas: Para pelajar undang-undang LCB menerima sijil latihan amali mereka.

    Semua di atas: Dr Sivarajah Subramaniam menyampaikan cenderamata penghargaan kepada para penerima mewakili Jabatan Kehakiman dan Firma Guaman.

    Sesi bergambar ramai di majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda