Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Bagi mengiktiraf dedikasi dan sumbangan pemimpin-pemimpin dan pengakap dewasa dalam memajukan gerakan Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara sesi 2021-2024, Majlis Penghargaan telah diadakan baru-baru ini di Hotel Al-Afiah, Kampung Kiulap.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin, yang hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu menekankan kepentingan kesatuan dan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli pengakap untuk memastikan kejayaan pelbagai aktiviti pengakap.
Beliau turut menggesa agar aktiviti-aktiviti pengakap dipelbagaikan mengikut trend masa kini, seperti memancing, glamping dan aktiviti-aktiviti lain yang sesuai.
Di samping itu, beliau juga menyeru agar semua pihak mempertingkatkan usaha dalam meningkatkan keahlian pengakap di Negara Brunei Darussalam untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan gerakan pengakap.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Skip Haji Mohd Arif bin Haji Nordin, diikuti kata-kata aluan oleh Pengerusi Majlis, Skip Haji Samsuddin bin Haji Ahmad, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan surat lantikan bagi Majlis Pengakap Daerah Brunei dan Muara yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pemimpin-pemimpin dan pengakap dewasa, disempurnakan oleh Skip Haji Samsuddin.
Manakala penyampaian cenderahati istimewa berupa buku hasil karya Skip Haji Domeng bin Haji Abdul Wahab yang diserahkan kepada Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara sebagai tanda penghargaan dan kenangan.




