Oleh Sim Y.H. –
TUTONG, 30 JUN – Dalam usaha menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan jururawat dan bidan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong telah mengadakan Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa di peringkat hospital, hari ini.
Sambutan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong aspirasi dan tema utama Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan, Haji Salehkamal bin Haji Badarudin.
Turut hadir, pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital PMMPMHAMB Tutong serta pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan majlis pelancaran Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa bagi Hospital PMMPMHAMB Tutong.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB Tutong, Hajah Siti Hasrainah binti Haji Md Hassan disusuli dengan ucapan khas daripada Haji Salehkamal.
Aktiviti sampingan yang dianjurkan sempena sambutan berkenaan adalah penyampaian hadiah kepada pemenang mencipta reka bentuk kemeja-T Hari Jururawat dan Bidang Antarabangsa 2025 yang dimenangi oleh Dayang Siti Nurul Qistina binti Samli, sesi senamrobik dan Pameran Mini Kejururawatan.
Sambutan peringkat hospital itu bermatlamat untuk menyokong tema dan matlamat sambutan induk yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, menggalakkan penyertaan aktif jururawat dan bidan dalam aktiviti yang meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental serta mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan jururawat dan bidan.



