Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Bagi meraikan sumbangan para jurutera dalam pembangunan negara, kira-kira 150 orang terdiri daripada ahli Institut Jurutera Pertubuhan Ukur, Jurutera & Arkitek Brunei (PUJA), pemimpin industri, jurutera serta wakil sektor kerajaan dan swasta telah menghadiri Malam Jurutera 2025 bertemakan The Transformers di The Jade Garden, Hotel Centrepoint, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Semasa acara, ucaptama telah disampaikan oleh Penasihat kepada Menteri, Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional (BAPPENAS), Republik Indonesia, Profesor Dr Michael Goutama, yang menekankan kepentingan kerjasama serantau, pembangunan mampan dan kepimpinan kejuruteraan masa kini.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Yang Amat Mulia Pengiran Indera Wijaya Pengiran Dato Dr Haji Ismail bin Pengiran Haji Damit; Pengerusi PUJA, Sr Haji Hanafi bin POKDSDDLU Haji Awang Abdul Rahman; serta Presiden Institut Jurutera, Ir Chin Lee Tuck.
Selepas ucaptama, anugerah telah disampaikan kepada Ir Chin Lee Tuck dan juga Dy. Siti Zuhairah Brahim atas pembentangan kertas kerja di CAFEO ke-43; penganugerahan gelaran Ahli Kehormat AFEO kepada Ir Mohd Isa Ibrahim serta pengiktirafan Jurutera ASEAN kepada Ir Albert Chua.
Acara diteruskan dengan acara Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir (FYP) yang memberi peluang kepada pelajar untuk mempersembahkan projek inovasi mereka kepada pemimpin industri dan profesional kejuruteraan.
PUJA Brunei turut menyampaikan penghargaan kepada penaja-penaja iaitu Penaja Emas yang terdiri daripada Perunding Primareka dan HSIA & Associates Sdn Bhd, Penaja Perak iaitu Walltique Sdn Bhd dan Penaja Gangsa yang terdiri daripada Othman & Associates, Metrobina & Partners, Alvo Consultant, Jurutera Perunding RCS Sdn Bhd, Welflex Engineering, Jurutera OMC, Tasya Sdn Bhd, RBR Group Sdn Bhd, Universiti Teknologi Brunei dan Enercon Services Sdn Bhd
Malam Jurutera 2025 merupakan platform bagi memperkukuh jaringan profesional, pertukaran pengetahuan dan pengiktirafan industri, sekali gus mencerminkan komitmen PUJA Brunei dalam memartabatkan profesion kejuruteraan serta menyokong pembangunan negara.


