Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan satu program berprestij bagi meraikan Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad sebagai profesor tempatan pertama dalam bidang Bahasa Arab pada majlis yang berlangsung di Auditorium UNISSA.
Majlis diadakan bagi menghargai pencapaian cemerlang beliau sebagai salah seorang ahli akademik tempatan yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang bahasa dan pendidikan bahasa Arab di peringkat nasional dan antarabangsa.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis, Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, ahli akademik dari pelbagai institusi dalam dan luar negara serta para mahasiswa dan mahasiswi dalam meraikan kejayaan yang membanggakan ini.
Dekan Fakulti Bahasa Arab, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah dalam ucapan beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Dr Siti Sara atas sumbangan beliau dalam memperkukuhkan kedudukan bahasa Arab.
Beliau juga menekankan pencapaian ini merupakan bukti komitmen UNISSA dalam melahirkan pakar bahasa tempatan yang mampu bersaing di peringkat global serta menyumbang kepada pembangunan bahasa Arab.
Walaupun perjalanan ini bukan mudah, jelasnya, Profesor Dr Siti Sara telah membuktikan bahawa usaha gigih dan komitmen yang tinggi merupakan kunci kepada kejayaan yang dicapai.
Program itu turut menampilkan pembentangan akademik daripada Profesor Dr Siti Sara bertajuk Developing Collaborative Technology Model (CTM) to Enhance Arabic Communication Skills Among Arabic Schools’ Students in Brunei Darussalam.
Selain itu, pameran yang menggariskan pencapaian dan sumbangan Profesor Dr Siti Sara dalam pelbagai aspek, termasuk penghasilan kajian ilmiah, penerbitan akademik serta dedikasi beliau dalam membimbing generasi pelajar di UNISSA dan peringkat antarabangsa juga diadakan.
Program tersebut merupakan langkah signifikan dalam mengiktiraf kejayaan ahli akademik tempatan dan diharapkan akan menjadi inspirasi kepada tenaga akademik untuk terus melakar kejayaan dalam bidang masing-masing demi memperkukuhkan institusi pengajian tinggi di Brunei.