Majlis Ibadah Korban mempertingkatkan amalan dan silaturahim

Oleh Sahama, Hazman HM dan Awang Zaki Haji Sahak

 

SEMPENA Hari Raya Aidildha, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching mengungkayahkan majlis  ibadah korban bertempat di perkarangan masjid berkenaan, kelmarin. Sebanyak lima ekor sapi telah dikorbankan pada tahun ini dengan penyertaan 35 orang peserta.

Tetamu kehormat dalam majlis tersebut ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, sekali gus berkesudian menyampaikan pembahagian daging korban kepada penerima agihan daging korban dan peserta yang melaksanakan korban.

Antara kelebihan dan keistimewaan  ibadah korban ialah  untuk berbakti dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ia juga dapat mengikis sikap mementingkan diri sendiri dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada hambanya.

Manakala di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Majls Pengagihan Daging Korban juga diadakan pada 3 September di mana majlis berkenaan merupakan projek tahunan anjuran bersama ahli-ahli jawatankuasa majlis perundingan kampung, ahli-ahli jawatankuasa takmir dan Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengagihan tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisyam bin Haji Masri. Juga hadir Penghulu Mukim Gadong B Mejar (B) Haji Bakar bin Haji Safar dan Ketua Kampung Mata-Mata, Gadong, Haji Metali bin Haji Kamis.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed menyampaikan daging-daging korban kepada peserta-peserta korban. – Sahama
Yang Berhormat Pehin Haji Hasrin mengagihkan daging korban. – Sahama
Tetamu kehormat majlis, Haji Amir Hisyam menyampaikan daging korban kepada setiap penerima. – Awang Zaki Haji Sahak

Sebanyak 13 ekor kerbau dan seekor kambing telah dikorbankan dalam majlis berkenaan. Pengagihan daging korban diagihkan oleh tetamu kehormat majlis kepada 20 penerima khas terdiri dari anak-anak yatim dan asnaf fakir miskin dan juga kepada penduduk-penduduk kampung serta orang ramai.

Seterusnya, Pada 2 September, majlis yang sama juga dijalankan oleh Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam. Sebanyak 14 penyertaan yang terdiri daripada ahli-ahli dan ahli keluarga telah menyertai ibadah korban pada tahun ini di mana sebanyak dua ekor kerbau telah dikorbankan bersempena ibadah korban tahun ini.

Pemangku Yang Dipertua Pertubuhan Fotografi, Haji Kahan Haji Nasir merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang memberikan sokongan dalam apa jua kegiatan pihak pertubuhan.

Beliau juga mengucapkan semoga mendapat haji yang mabrur kepada tiga orang ahli pertubuhan yang menunaikan fardu haji pada tahun ini termasuk Yang Dipertua Pertubuhan, Haji Hamidon bin Haji Mohd Noor.

Acara diteruskan dengan penyampaian daging-daging korban kepada peserta-peserta dan penerima-penerima yang terpilih pada tahun ini yang terdiri dari warga sekitar Kampung Lubok Pulau yang telah di sampaikan oleh tetamu khas, Ketua Kampong Lubok Pulau, Haji Abdul Rahman bin Samad.

Kemudian, di Masjid Setia Ali, Pekan Muara, majlis yang serupa juga diadakan di masjid berkenaan kelmarin. Sebanyak enam ekor kerbau telah dikorbankan dan diagihkan kepada para peserta yang melaksanakan ibadah korban, akikah dan lapan orang asnaf fakir miskin yang tinggal di kawasan berkenaan. Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 2, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman, Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong di Kampung Sabun.

Haji Kamaluddin membaca doa dan seterusnya menyembelih salah seekor kerbau yang dikorbankan. – Hazman HM
Tetamu kehormat majlis, Ketua Kampung Lubok Pulau mengagihkan daging korban kepada peserta-peserta majlis korban.
Haji Latip mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima. – Hazman HM

Seterusnya, ahli Jawatankuasa Surau Champion 7 Syarikat Minyak Brunei Shell dengan kerjasama ahli Jawatan kuasa Takmir Masjid Pekan Seria juga telah mengadakan majlis yang serupa, kelmarin.

Majlis Ibadah Korban itu berlangsung di Masjid Pekan Seria. Sebanyak lima ekor kerbau dan seekor lembu telah dikorbankan dalam majlis tersebut. Penyembelihan diadakan di Pusat Penyembelihan Mulaut dengan disaksikan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Surau Champion 7 yang kemudian nya membawa daging-daging korban ke Masjid Pekan Seria untuk di agih-agihkan.

Daging-daging korban diagihkan oleh Pengurus Pelantar Luar Pantai Champion 7, Haji Latip bin Haji Kassim kepada para asnaf fakir miskin dan penduduk sekitar Masjid Pekan Seria.

Majlis Ibadah Korban ini merupakan salah satu projek tahunan Surau Champion 7 yang antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada kakitangan untuk beramal dan bersedekah.

Manakala pada 2 September yang lalu di Kampung Keriam, Daerah Tutong, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Keriam, juga mengadakan majlis yang serupa dan berlangsung di masjid berkenaan. Sebanyak enam ekor kerbau telah dikorbankan dan penyembelihan telah dilakukan dan diketuai oleh Imam Masjid, Haji Kamaluddin bin Haji Abdul Rahman.

Hadir di majlis tersebut dan seterusnya mengagihkan daging-daging korban kepada para peserta yang menyertai ibadah korban ialah Ketua Kampung Keriam, Haji Morshidi bin Haji Mahadi,  dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Dato Paduka Haji Abdul Aziz bin OKMB Haji Othman.

Majlis Ibadah Korban ini merupakan salah satu projek tahunan Masjid Kampung Keriam Tutong  yang antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk sekitarnya untuk beramal dan bersedekah bagi melaksanakan perintah Allah semata-mata dan melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala di atas rezeki, nikmat dan kurnianya serta meningkatkan dan mengukuhkan lagi keimanan dengan mengungkayahkan perkara-perkara berkebajikan.