Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Ibadah Korban terus semarak hari raya aidiladha

    Oleh Syahmi Hassan, Salawati Haji Yahya, Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Dalam memuliakan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, pelbagai pihak di negara ini telah bersama-sama mengadakan majlis ibadah korban.

    Baru-baru ini, tiga ekor kerbau telah dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya anjuran Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang telah diadakan di Dewan Serba guna, Tingkat 6, Bangunan KHEDN.

    Daging-daging korban tersebut telah diagih-agihkan kepada golongan asnaf fakir miskin di bawah tadahan Mukim Berakas, peserta-peserta ibadah korban dan warga kerja KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Agihan daging korban disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis turut diserikan dengan laungan takbir Hari Raya Aidiladha yang dibawa oleh Kumpulan Takbir JIPK, dan seterusnya ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

    Awang Suip menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang penerima semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan DBP
    Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari menyempurnakan pengagihan daging korban kepada penerima. – Gambar serahan PWEDB
    Yang Berhormat Awang Mohammad menyampaikan daging korban kepada penerima semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim
    Antara yang hadir di Majlis Ibadah Korban bagi KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya. – Gambar serahan JIPK

    Turut mengadakan majlis seumpamanya baru-baru ini adalah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kampus Sinaut.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Pada sesi pagi, majlis telah dimulakan dengan aktiviti bergotong-royong dan diteruskan dengan pembungkusan serta pembahagian daging korban di mana empat ekor kerbau telah dikorbankan.

    Manakala itu, sesi petang, majlis diteruskan dengan penyampaian insentif bagi pelajar-pelajar UNISSA diselajurkan dengan pengagihan daging korban kepada asnaf fakir miskin di sekitar Kampung Sinaut dan Kampung Sungai Kelugos serta warga UNISSA.

    Untuk menyerikan lagi majlis tersebut, tazkirah telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Profesor Dato’ Dr Zulkifly bin Muda.

    Sementara itu, seramai 24 orang yang terdiri daripada golongan asnaf, anak-anak yatim dan jemputan telah menerima agihan daging korban anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan, baru-baru ini.

    Majlis diadakan di Perpustakaan DBP cawangan Sengkurong itu adalah kali kedua diadakan dengan kerjasama Ketua Kampung Sengkurong A, Sengkurong B dan Tanjong Nangka.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan agihan daging-daging korban kepada para penerima ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Di Daerah Belait, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban juga telah mengadakan majlis serupa yang berlangsung di Balai Raya Kampung Sungai Teraban, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann yang turut menyempurnakan pengagihan daging korban kepada lebih 50 keluarga kurang bernasib baik yang diwakili oleh ketua-ketua keluarga.

    Manakala itu, pada 1 Julai lalu, ahli-ahli Persatuan Warga Emas Daerah Belait (PWED) telah memperingati Hari Raya Aidiladha dengan majlis sam-butan yang diadakan di Kafe Kenyalang, Kelab Panaga.

    Hadir menyaksikan sambutan berkenaan ialah Penasihat Persatuan, Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad berserta isteri.

    Majlis turut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr Zulkifli bin Zakaria sebelum pengagihan daging korban kepada warga emas yang hadir oleh tetamu kehormat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda