Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Sempena bulan Ramadan al-mubarak ini, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Iftar Ramadan bersama 171 orang anak yatim Darjah 4 sekolah-sekolah agama bagi Daerah Brunei dan Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Menurut Hotel Antarabangsa Rizqun, pada tahun ini, pihaknya telah menjemput anak-anak yatim dari beberapa buah sekolah agama di negara ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Yasin, tahlil serta Doa Arwah yang dipimpin oleh Haji Abdul Razak bin Haji Mohd Daud dari JPI.
Sebelum majlis bersurai, tetamu kehormat dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Hotel Antarabangsa Rizqun turut menyampaikan peket hijau kepada anak-anak yatim yang diraikan berkenaan.
Majlis tersebut merupakan amal infak pihak Abdul Razak Holdings dalam mengambil sukut baik keberkatan bulan Ramadan dan secara tidak langsung dihasratkan membantu meringankan perbelanjaan anak-anak yatim menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Di samping itu, ia juga untuk sama-sama mendoakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah khususnya ibu bapa dan penjaga anak-anak yatim serta umat Islam amnya.
Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Abdul Razak Holdings dan pengarah Hotel Antarabangsa Rizqun; Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.