Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Daerah Brunei dan Muara hari ini telah menganjurkan Majlis Ihya Maulidur Rasul bagi menzahirkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW melalui amalan memperbanyakkan selawat dan aktiviti keagamaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Dato Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer ialah Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Hajah Siti Norishan binti Haji Abdul Gafor, Isteri Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, dan Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah, Masjid Pehin Dato Imam Haji Abdul Mokti, Dayang Nurul Janah binti Shahbudin bersama muslimah dari kelas berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan persembahan selawat oleh beberapa kelas bimbingan muslimah. Antaranya Selawat Assalamualaika Zainal Anbiya oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Beribi; Selawat Ya Sayyidi oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah A; Selawat Busyra oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Selawat Badariyyah oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Putat; Selawat Isyfa Lana oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi; Selawat Sidanan Nabi oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Kampung Katimahar; Selawat Ya Nabi Salamun Alaik oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Pelambayan; Selawat Sohibus Syafa’ah oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Limau Manis; Selawat Solatuminallah oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Masin; Selawat Asyghil oleh Kelas Bimbingan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah; dan Selawat Al-Miskufa oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Persembahan selawat diakhiri dengan Selawat Ya Habibal Qalbi oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis, dan diteruskan dengan persembahan Dikir Asyraqal oleh Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Pehin Dato Imam Haji Abdul Mokti.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Dayang Nurul Janah.
Majlis tersebut dianjurkan bertujuan untuk menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, menggalakkan penglibatan muslimah dalam program keagamaan di masjid, memakmurkan rumah Allah serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan jemaah.


