Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Ihya semarak sambutan Maulud

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Bagi memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasulullah SAW, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Dato Imam Haji Mokti, Kampung Burung Pinggai Ayer telah mengadakan Majlis Ihya di masjid tersebut, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Daerah Brunei dan Muara itu ialah Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Antara pengisian majlis ialah bacaan-bacaan selawat ke atas junjungan Baginda Rasulullah SAW sebagai menzahirkan rasa kasih dan cinta terhadap Baginda.

    Di samping itu, majlis turut mengongsikan pengetahuan kepada para Muslimah mengenai variasi selawat-selawat yang secara tidak langsung dapat menjadikan bacaan selawat sebagai zikir dan amalan seharian.

    Majlis antara lain bertujuan untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

    Selain itu, ia juga diadakan untuk menggalakkan penglibatan Muslimah dalam program mahupun acara keagamaan di masjid sekali gus dapat memakmurkan masjid serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah dan jemaah masjid yang lain.

    Datin Hajah Nahriah, semasa menghadiri Majlis Ihya di Masjid Pehin Dato Imam Haji Mokti, Kampung Burung Pinggai Ayer. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda