Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Brunei Darussalam telah menerima anugerah bagi Kategori Sumbangan kepada Organisasi pada majlis Majlis Makan Malam Gala Asia HRD Awards yang berlangsung di Universiti Cyberjaya, Malaysia, baru-baru ini.
Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada program Asia HRD Congress 2025 yang diadakan pada 8 dan 9 Ogos dengan tema Kecekapan Tenaga Kerja dalam Era AI.
Hadir menerima anugerah itu bagi pihak JPA ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman.
Anugerah itu mengiktiraf kepimpinan cemerlang JPA dalam membentuk dan memperkukuh perkhidmatan awam negara. Sebagai agensi utama yang menyelaras hal ehwal modal insan sektor awam, JPA juga memainkan peranan penting dalam merancang, mengurus dan membangunkan tenaga kerja perkhidmatan awam bagi memastikan keberkesanannya yang berterusan serta sejajar dengan aspirasi negara.
Pengiktirafan tersebut meningkatkan lagi komitmen jabatan dalam memartabatkan pembangunan kapasiti dan profesionalisme sektor perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam.
Memasuki tahun ke-22 penganjuran, Asia HRD Awards terus mengiktiraf individu dan organisasi di seluruh rantau ini atas sumbangan cemerlang mereka dalam pelbagai aspek pembangunan sumber manusia.
Majlis pada tahun ini meraikan penerima anugerah dalam kategori Pencapaian Sepanjang Hayat, Sumbangan kepada Masyarakat, Sumbangan kepada Organisasi, Sumbangan kepada Komuniti HR dan Movers and Shakers.


