Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Majlis ilmu merupakan saat dan tempat yang mulia di sisiNya kerana Allah SWT menjanjikan banyak ganjaran dan kebaikan bagi orang yang berada di dalamnya.
Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada umatnya bahawa menghadiri majlis-majlis ilmu itu umpama berada di dalam taman syurga di atas muka bumi ini dengan dilimpahi rahmat Allah SWT.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Pandan, Daerah Belait mengungkayahkan majlis ilmu melalui satu program yang dinamakan ‘Subuh di Taman Syurga’ yang diadakan di masjid berkenaan.
Antara tujuannya adalah sebagai salah satu usaha memakmurkan masjid selain memberi peluang kepada jemaah masjid untuk meraih dan merebut ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT kepada orang-orang yang berada dalam majlis ilmu sekali gus menjadikan masjid agar sentiasa di hati jemaah sebagai tempat untuk meraih berkat dan rahmat Allah SWT.
Program tersebut diisikan dengan tazkirah bertemakan ‘Tadabbur Kisah di dalam Al-Quran’ yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr Ahmad Yunus bin Kasim.
Antara inti sari yang terkandung dalam tazkirah yang diadakan dua kali sebulan bermula bulan ini adalah Al-Quran memaparkan kisah-kisah sejarah manusia untuk menjadi pengajaran kepada kehidupan manusia di setiap zaman.
