BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-25, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah mengadakan majlis keagamaan di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang diselajurkan dengan inisiatif ikhlas untuk anak-anak yatim di Mukim Jerudong, kelmarin.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengarah Eksekutif JPMC.
Turut hadir ialah pengurusan kanan, ketua-ketua jabatan dan kakitangan JPMC, yang secara kolektif menyumbang kepada kepentingan majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan Fardu Asar berjemaah, diikuti dengan bacaan tahlil dan Doa Selamat.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan amal kepada 30 orang anak yatim sebagai komitmen JPMC terhadap kebajikan masyarakat dan tanggungjawab sosial.
Sambutan berkenaan bukan sahaja menggariskan komitmen berterusan JPMC terhadap kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan dan penglibatan sosial, tetapi juga sebagai tanda kesyukuran dan rendah hati atas rahmat Allah SWT untuk perjalanan yang akan datang.


