Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Demi memohon keselamatan dan kemudahan bagi Negara Brunei Darussalam dalam berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, seramai 26 orang ahli Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Tutong telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19 secara dalam talian, baru-baru ini.
Majlis turut disertai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, selaku presiden Majlis Belia Brunei bersama beberapa orang awam yang lain.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai manakala bacaan Surah Yasin dan Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19 dipimpin oleh salah seorang ahli kumpulan, Awang Muhammad Zulfadhli bin Haji Zulkifli. Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh salah seorang ahli kumpulan, Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad.
Menurut Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku pengerusi kumpulan berkenaan semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut menyatakan bahawa dengan adanya majlis seumpama itu merupakan usaha memohon pertolongan kehadrat Allah SWT atas segala ujian yang dihadapi selama ini.
“Alhamdulillah, menerusi aplikasi maya ini juga kami dapat bersilaturahim sambil mengerjakan amal kebajikan bersama-sama sekali gus mencetus kesedaran dalam diri masing-masing untuk sentiasa menjadi hamba Allah SWT yang taat kepada perintahNya dan menjauhi segala laranganNya dalam meniti kehidupan sehari-hari.
“Dengan sentiasa berusaha dan beringat-ingat dalam menjaga keselamatan diri mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jangan lupa untuk sentiasa memohon doa dan berserah kepadaNya dengan penuh ketulusan agar negara dan dunia amnya terhapus daripada wabak ini,” ujarnya.
Selain itu beliau turut mengongsi bahawa kumpulan berkenaan akan mengadakan Projek Kasih IMPAK pada masa terdekat ini.
