Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, beberapa pihak di negara ini telah mengadakan majlis keagamaan termasuk majlis Doa Kesyukuran dan membaca Surah Yasin.
Di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, ahli jawatankuasa masjid berkenaan telah mengadakan majlis keagamaan yang diisikan dengan sembahyang fardu Maghrib dan sunat Hajat berjemaah dan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohd Idham bin Haji Hassim.
Majlis tersebut dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid dari kampung sekitarnya.
Sementara itu di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), majlis seumpamanya turut diadakan di tiga bilik berasingan sekolah berkenaan iaitu bilik mesyuarat, bilik guru-guru dan kelas-kelas.
Hadir pada majlis berkenaan ialah pengetua sekolah, Hajah Azizah binti Haji Mohammad, timbalan pengetua pentadbiran, timbalan pengetua akademik, guru-guru kanan, ketua-ketua bahagian dan penolong-penolong ketua bahagian.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Awang Abdul Mukmin bin Haji Awang.
Majlis kemudiannya disusuli dengan bacaan Doa kesyukuran yang dipimpin oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Haji Mohd Zulizzi bin Awang Tengah.
Majlis merupakan aktiviti tahunan sekolah berkenaan sebagai tanda kasih, rasa syukur dan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dilanjutkan usia.