Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Sempena memperingati Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (OKU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan Majlis Qalbun Salim yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis disertai oleh lebih 200 orang termasuk ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, dari agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, ahli-ahli Majlis Kesejahteraan OKU (MKOKU), guru-guru, ibu bapa dan penjaga. Majlis diisikan dengan bacaan Surah Al-Mulk, tahlil, Doa Kesyukuran dan Doa Terhindar dari Wabak COVID-19.
