Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini menganjurkan acara keagamaan bagi meraikan Sambutan Hari Kemasyarakatan ke-13 persatuan itu di ibu pejabatnya di Kampung Anggerek Desa.
Acara diserikan dengan bacaan Ratib Al-Attas, Surah Yasin dan Doa Kesyukuran serta solat Asar berjemaah bagi memanjatkan kesyukuran dan meraikan ahli-ahli yang terlibat dalam pelbagai kegiatan atau projek khidmat masyarakat.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sedekah sebanyak 100 kontena bubur nasi dan 100 kontena bubur kacang kepada warga Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) Belimbing Subok dan ahli-ahli PPPBD yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris, Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Hajah Viviyanti binti Haji Md Ali.
Setakat ini, persatuan telah menjalankan pelbagai kegiatan dan projek kemasyarakatan dengan sokongan ahli-ahli termasuklah Projek Titian Kasih PPPBD, penyampaian sumbangan derma kepada golongan yang memerlukan dan rangkaian kegiatan kemasyarakatan di bulan Ramadan.
