Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Sempena Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1439 dan Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan kali ke-47, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.
Pada majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan itu, bacaan Surah Yasin, Tahlil telah dipimpin oleh Mudim Haji Matassim bin Haji Metussin, sementara itu, Doa kesyukuran dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Majlis diikuti dengan ceramah khas Sambutan Awal Tahun Hijrah 1439H yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Doktorandus Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

Sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam, pada 4 Oktober 1970, Bandar Brunei ditukar nama kepada Bandar Seri Begawan.
Sehubungan itu, Sambutan memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan disambut setiap 4 Oktober.