Oleh Yusrin Junaidi
BELAIT, 23 JULAI – Bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait telah mengendalikan Majlis Malam Zikrullah iaitu acara persembahan malam bercorak keagamaan di Pentas Perayaan Tamu Tudong Saji Daerah Belait, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Labi 1 dan Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar seterusnya bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan.
Kemudian, majlis diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan ‘Puja Usia’ oleh warga Pejabat Unit Dakwah Belait dan mualaf-mualaf Daerah Belait.
Majlis diserikan lagi dengan Pertandingan Surah Al-Fatihah dan Bacaan Tahiyat Akhir bagi kategori lelaki mualaf serta Pertandingan Surah Al-Fatihah dan Bacaan Doa Wuduk bagi kategori perempuan mualaf.
Bagi menarik perhatian pengunjung, majlis turut mengadakan kuiz spontan untuk kanak-kanak yang hadir.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tausyeh dan nasyid daripada Kumpulan Asy-Syuhada iaitu para mualaf Daerah Belait serta persembahan Selawat oleh belia-belia Kumpulan Al-Fitrah.
Acara merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan Pejabat Unit Dakwah Belait untuk sama-sama memeriahkan dan menyemarakkan lagi suasana sambutan.
