Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Keselamatan PBB adakan rundingan kecemasan

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, Amerika Syarikat, 31 Jan – Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan rundingan hari ini ke atas ujian penembakan peluru berpandu jarak sederhana Iran, kata diplomat-diplomat.

    AS meminta konsultasi darurat selepas duta Israel ke PBB menyeru bagi tindakan majlis.

    “Ekoran pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana Iran pada 29 Januari, AS telah meminta konsultasi segera Majlis Keselamatan,” kata misi AS dalam satu kenyataan.

    Rundingan ke atas Iran akan disusuli dengan mesyuarat mengenai Syria yang dijadualkan pada 10 pagi (1500 GMT).

    Duta Israel, Danny Danon berkata ujian peluru berpandu itu telah mencabul resolusi PBB yang menegah Iran daripada melancarkan peluru berpandu balistik yang mungkin memiliki keupayaan nuclear.

    “Komuniti antarabangsa perlu mengambil perhatian atas tindakan Iran ini,” kata Danon.

    “Anggota Majlis Keselamatan harus bertindak segera dalam respons kepada tindakan Iran yang membahayakan bukan saja Israel namun keseluruhan Timur Tengah.”

    Ia adalah permintaan pertama bagi konsultasi majlis yang dibuat oleh AS sejak Duta baru AS Nikki Haley menggalas jawatannya.

    Presiden AS, Donald Trump telah berjanji untuk memperkukuhkan hubungan dengan Israel dan mengkritik hebat perjanjian nuklear Iran yang membawa kepada pembatalan sekatan antarabangsa ke atas Tehran.

    Trump dijangka akan bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 15 Februari. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda