NEW YORK, 1 Ogos – Duta Sweden ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Olof Skoog, kelmarin berkata tindakan yang diambil oleh Majlis Keselamatan badan dunia itu tidak mencukupi bagi menangani konflik Israel-Palestin meskipun ia begitu mengganggu dan telah menyumbang kepada ketegangan lain di rantau tersebut, lapor agensi berita China Xinhua.
Bercakap di penghujung tempoh negaranya memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Keselamatan PBB, dia berkata: “Menyelesaikan isu itu seharusnya menjadi satu keutamaan. Pernahkah ia menjadi keutamaan? Saya rasa tidak pernah.”
“Semua orang kini menantikan satu pelan perdamaian yang tiada siapa benar-benar tahu butirannya,” katanya.
Skoog berasa kesal kerana segala tindakan berkaitan isu itu tidak berjalan dengan cara yang positif.
“Terdapat terlalu banyak insiden yang menyebabkan keamanan sukar dicapai,” katanya kepada pemberita.
“Keputusan memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis bukanlah sesuatu yang kami (Sweden) persetujui. Sebenarnya kami secara terbuka telah mengkritik langkah itu,” kata duta itu.
Langkah menerima pakai undang-undang negara bangsa oleh parlimen Israel baru-baru ini juga tidak menggalakkan penyertaan penduduk Palestin dalam kehidupan politik di Israel, katanya.
Undang-Undang kontroversi itu mendefinisikan Israel sebagai negara bangsa orang Yahudi. Ia menyatakan bahawa hanya orang Yahudi memiliki hak penentuan nasib sendiri di Israel.
Undang-Undang itu turut membatalkan status Arab sebagai bahasa rasmi di samping Bahasa Ibrani. Memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang peperangan, Duta Sweden itu berkata hampir setiap hari terdapat ketegangan yang boleh meningkat kepada keganasan dengan begitu pantas.
“Keadaan ini amat berbahaya dan saya tidak fikir Majlis Keselamatan telahpun mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu tersebut,” katanya sambil menambah bahawa dia tidak melihat sebarang isyarat positif dalam trend pada bulan-bulan yang akan datang. – Bernama