Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sempena Sambutan Jubli Mutiara Masjid Kampung Bukit Udal yang menandakan ulang tahun ke-30 penubuhannya, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bukit Udal telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang berlangsung kelmarin di masjid berkenaan.
Majlis berkenaan sebagai tanda kesyukuran atas perjalanan tiga dekad masjid berkenaan dalam memperkukuh peranan kepada masyarakat setempat.
Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin serta Doa Selamat dan Kesyukuran.
Acara diteruskan dengan pelancaran logo baharu masjid berkenaan sebagai lambang identiti dan semangat baharu, serta tayangan klip video yang memaparkan sejarah penubuhan masjid.

Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan khas dan penyerahan cenderahati kepada mereka yang telah banyak menyumbang terhadap perkembangan dan kemajuan masjid.
Sambutan berkenaan dihasratkan dapat bagi memupuk dan mengeratkan hubungan silaturahim, keakraban serta kerjasama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, para muslimah dan penduduk Kampung Bukit Udal.
Di samping menjadi salah satu usaha mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah dan kegiatan keagamaan.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, sebelum diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah.
Masjid Kampung Bukit Udal telah dirasmikan pembukaannya pada 1 November 1995 bersamaan 8 Jamadilakhir 1416 Hijrah, dan sehingga kini terus berperanan sebagai pusat ibadah dan kegiatan keagamaan masyarakat setempat, melambangkan tiga dekad perjalanan yang penuh keberkatan serta kesyukuran.

