Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-41 (HK-41) pada 23 Februari ini, Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran akan diadakan dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, pada 22 Februari mulai pukul 5:45 petang.
Sehubungan dengan itu orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir pada majlis berkenaan yang akan diadakan secara serentak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, tumpuan di beberapa buah masjid iaitu Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Bagi Daerah Belait majlis akan diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria.
Manakala bagi Daerah Tutong akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan bagi Daerah Temburong akan diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.