Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Sempena Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-27 tahun 1439H/2017M, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang diadakan serentak di sekolah-sekolah seluruh negara, hari ini.
Majlis bertujuan untuk memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi serta menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik pelajar untuk menjadi seorang yang berjaya serta juga menjadi kebanggaan orang tua di samping mengeratkan hubungan antara guru dengan diri pelajar itu sendiri.
Sebanyak 118 buah sekolah rendah dan 35 buah sekolah menengah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Kesyukuran tersebut di sekolah masing-masing.
Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada kegiatan-kegiatan keagamaan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sambutan Hari Guru di Negara Brunei Darussalam disambut pada setiap 23 September sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien sebagai mengenang jasa bakti Al-Marhum terhadap kemajuan pendidikan di Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun ini, acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru telah diadakan pada 26 September 2017 lalu di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dan tema pada tahun ini adalah ‘Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah’.