Friday, April 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Kesyukuran Istiadat Bersiram

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Majlis Doa Selamat serta Kesyukuran Istiadat Bersiram Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah sempena selamat meluaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Daniya Rahmatul Bolkiah, berlangsung di Surau Istana Nurul Iman, hari ini.

    Majlis disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

    Istiadat bermula dengan empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang tersedia terpasang di tempat yang dikhaskan.

    Kemudian diikuti tiga orang Awang-Awang membawa masuk Surat Dikir, Bantal Gaguling dan Pabarahan dan meletakkannya di tempat yang telah ditentukan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid, seterusnya diikuti dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Assalamualaika, Khairuman, Bisyahrin, Alham dan Badad) dan diteruskan dengan Dikir Marhaban.

    Sejurus perenggan ‘Ya Habibi’ dibacakan, 17 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan Tembak Meriam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di pekarangan Istana Nurul Iman.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Berangkat dan hadir ke majlis berkenaan, pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan setiausaha-setiausaha tetap serta timbalan-timbalan setiausaha tetap.

    Sementara di ruang lain Istana Nurul Iman, majlis turut dihadiri oleh para jemputan wanita.

    YAM Pengiran Anak Daniya Rahmatul Bolkiah merupakan puteri sulung YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi, dan telah diputerikan pada 28 Rabiulawal 1446 Hijrah bersamaan dengan 2 Oktober 2024 di Hospital Portland, London, United Kingdom pada jam 9:55 pagi waktu tempatan.

    Majlis disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.
    Awang-Awang membawa masuk Surat Dikir, Bantal Gaguling dan Pabarahan dan meletakkan di tempat yang telah ditentukan.
    Antara menteri-menteri kabinet yang hadir di majlis tersebut.
    Majlis turut dihadiri oleh para jemputan wanita di ruang lain Istana Nurul Iman. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda