Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 1 MAC – Sempena memperingati penubuhan Jabatan Penjara ke-66 pada setiap 1 Mac, Jawatankuasa Keagamaan hari ini mengadakan dua majlis serentak iaitu majlis Doa Kesyukuran dan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Pengiran Anak Haji Muhammad Alam, Kampung Sengkarai, Tutong.
Majlis dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Pemangku Pengarah Penjara, Haji Muhammad Isamuddin bin Abdullah Juna; Pemangku Timbalan Pengarah Penjara, Pengiran Haji Mohd Bahrin bin Pengiran Haji Jamaluddin, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Penjara.
Sambutan ulang tahun diisi dengan sembahyang sunat berjemaah diimamkan oleh pegawai hal ehwal masjid tersebut, Haji Mohd Khairul Azmy bin Haji Abu Bakar.
Ia diteruskan dengan acara khatam Al-Quran diketuai oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan bacaan Doa Tahtim, Doa Khatam dan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Guru Agama Institusi Penjara Maraburong Fasa 3, Awang Kani bin Haji Jaluddin.

