Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Bersempena memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) 2025, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung di Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi AITI.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; serta Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar.
Tetamu undangan lain termasuk ahli-ahli AITI, pegawai-pegawai kanan dari MTIC dan AITI serta wakil-wakil dari InfoCom Federation Brunei (IFB), penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan industri ICT.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan Fardu Asar berjemaah yang diketuai oleh Pengiran Haji Mohd Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar diikuti dengan bacaan Surah Yaasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran.
WTISD disambut setiap tahun pada 17 Mei untuk menandakan penubuhan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 1865 ketika Konvensyen Telegraf Antarabangsa pertama ditandatangani di Paris, Perancis.
Acara tersebut diadakan untuk meningkatkan kesedaran tentang kuasa Internet dan teknologi lain dalam memperbaiki kehidupan serta merapatkan jurang digital.
Tahun ini adalah tahun ke-56 WTISD diraikan sejak 1969.
Tema bagi 2025, Kesaksamaan Jantina dalam Transformasi Digital, menekankan keperluan untuk memperkasa kesaksamaan jantina dalam bidang digital supaya wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia turut berpeluang meraih manfaat serta menyumbang kepada transformasi digital.
