Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini, telah mengadakan majlis kesyukuran graduan sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-12 yang juga menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara KUPU SB dengan sembilan institusi pengajian tinggi luar negara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan ahli-ahli Majlis KUPU SB.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Asmaul Husna serta nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ beramai-ramai.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Adh-Duha hingga An-Nas oleh para graduan yang diraikan, bacaan takhtim serta Doa Khatam.
Kemudian, majlis menyaksikan penandatanganan MoU dengan Mindanao State University Filipina, Universitas Agama Islam Negeri Ambon Indonesia, Universitas Dharmawangsa Indonesia, Universitas Nadhatul Wathan Mataram Indonesia, Institut Agama Islam Hamzanwadi Nadhatul Wathan Lombok Timur Indonesia, Nusa Putra University Indonesia, Kolej Universiti Islam Selangor Malaysia, Nippon Muslim Corporation & Japan Da’wah Centre, Osaka Japan dan Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom.
Menandatangani bagi pihak KUPU SB ialah Dr Haji Adanan dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Penandatanganan berkenaan merupakan salah satu respons bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman terbaik antara KUPU SB dengan institusi pengajian tinggi serantau.
Bidang kerjasama tersebut meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan juga pengajaran dan kerjasama dalam mana-mana bidang-bidang yang memberikan manfaat kepada dua-dua belah pihak.
Majlis diikuti dengan penyampaian anugerah akademik di mana 16 pelajar terbaik Tahun 1 hingga 4 bagi sesi 2021/2022 dalam program masing-masing menerima anugerah dekan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Acara turut diselajurkan dengan penyerahan wakaf Tarbiyyah daripada graduan konvokesyen ke-12, yang telah diterima oleh Pemangku Penolong Raes KUPU SB, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh selaku pengerusi bersama Majlis Kesyukuran Graduan Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-12.