Monday, March 10, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran rai Hari Wanita Antarabangsa

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) serta Persatuan Membangun Wanita dan Masyarakat (MAWAR) telah mengadakan Majlis Kesyukuran (Khas Wanita) di Kompleks Sukan Jerudong.

    Majlis kesyukuran itu telah dihadiri oleh kira-kira 150 orang terdiri daripada setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap dari kementerian , ahli-ahli jawatankuasa khas institusi keluarga, wanita dan kanak-kanak, para pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Peguam Negara, Pejabat Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hajah Fatimah binti Haji Ahmad daripada Persatuan Pertiwi, MWNBD.

    Kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku pengerusi majlis, Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak.

    Acara diteruskan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Hajah Fatimah, diikuti dengan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Dayang Zeliha binti Haji Mohamad Ali dari Persatuan Pertiwi dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar daripada Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).

    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Salah seorang penerima bantuan kebajikan menerima sumbangan barangan keperluan asas dan tajaan daripada JAPEM dan MAWAR. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Majlis diteruskan dengan sesi tazkirah bertajuk Peranan Wanita dalam Membantu Pembangunan Negara yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Nurhikmah binti Haji Idris.

    Antara inti pati tazkirah itu mengetengahkan Islam menempatkan martabat wanita pada kedudukan sangat tinggi, baik sebagai anak, isteri, mahupun ibu. Seorang anak perempuan yang solehah dapat menjadi perisai bagi kedua-dua ibu bapanya daripada api neraka, terutama jika dibesarkan dengan akhlak dan agama yang baik.

    Beliau berkata, sebagai isteri, wanita solehah adalah kebahagiaan bagi suaminya, mentaati dan menjaga kehormatan rumah tangga, sehingga menjadi sebahagian dari syurga di dunia. Sebagai ibu, wanita memiliki keutamaan tiga kali lebih tinggi daripada ayah kerana peranannya dalam mengandung, melahirkan dan menyusui.

    Dalam masyarakat dan negara, wanita berperanan besar dalam melahirkan generasi hebat, membina rumah tangga yang harmonis, serta menerapkan iman dan takwa.

    Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun merupakan satu detik penting dalam mengiktiraf sumbangan serta pencapaian wanita dalam pelbagai bidang.

    Tahun 2025 menandakan kali ke-12 Negara Brunei Darussalam meraikan sambutan ini dengan bertemakan Untuk SEMUA Wanita dan Gadis: Hak Kesamarataan. Pemerkasaan.

    Secara kesimpulannya, tema ini menekankan kesamarataan, perlindungan dan pemerkasaan, khususnya bagi wanita dan gadis, agar mereka dapat menjadi ejen perubahan yang positif dalam masyarakat dan seterusnya negara.

    Majlis itu bukan sahaja menjadi wadah untuk memperingati pencapaian wanita tetapi juga sebagai platform bagi memperkukuh kesedaran dan sokongan terhadap usaha pemerkasaan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

    Majlis diselajurkan dengan penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asas daripada JAPEM berserta sumbangan tajaan daripada MAWAR berbentuk baucar kepada enam penerima bantuan kebajikan bulanan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda