Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran rai kepulangan jemaah haji

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Sempena selamat kembalinya jemaah haji Negara Brunei Darussalam daripada melaksanakan ibadah haji di Tanah Suci, Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran kepulangan jemaah haji yang mengikuti pakej DSSB di Dewan Munawwarah, Setia Point, Berakas, hari ini.
     
    Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran atas sempurnanya para jemaah haji menunaikan ibadah haji yang dikendalikan oleh syarikat DSSB.
     
    Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Mohamed, penolong ketua rombongan Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran Negara Brunei Darussalam dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) beserta rombongan, Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Perubatan berserta rombongan dari Kementerian Kesihatan (MOH), ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan DSSB dan pegawai dari Jabatan Urusan Haji dan Kementerian Kesihatan.
     
    Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mahmud berkata sebagai sebuah syarikat yang telah lama bertapak dalam industri pengurusan haji dan umrah, pihaknya mengakui telah melalui pelbagai pengalaman yang sangat berharga.
     
    Beliau menegaskan pengalaman itu tidak bermakna DSSB paling mahir atau tiada kekurangan berbanding pihak lain. 
     
    Haji Mahmud menghadiri majlis yang berlangsung di Setia Point, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    “Sebaliknya, pengalaman yang berdekad ini telah mengajar DSSB bahawa cabaran dalam pengurusan haji hadir dalam pelbagai rupa, bentuk dan keadaan. 
     
    “Setiap tahun, cara pengurusan yang diperlukan berbeza-beza, tiada satu kaedah yang sesuai untuk semua situasi atau semua orang.”
     
    Beliau seterusnya berkata DSSB juga sedar mereka tidak mampu memenuhi setiap permintaan para jemaah, terutamanya pada musim haji tahun ini yang menyaksikan jumlah jemaah mencecah kira-kira 1.67 juta orang. 
     
    “Sudah pasti tidak mudah untuk DSSB menunaikan setiap kehendak jemaah. Namun, DSSB amat menghargai segala maklum balas yang diberikan oleh para jemaah. Setiap komen dan teguran kami anggap sebagai panduan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan pada masa akan datang.”
     
    Majlis juga diisikan dengan ceramah khas oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam.
     
    Untuk mengimbas kembali peristiwa sepanjang berada di tanah suci, para jemputan disajikan dengan satu tayangan video Ristaan Haji perjalanan para jemaah haji. Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada Pegawai DSSB bersama jemaah haji.
     
    Sempena majlis berkenaan, DSSB juga telah menerbitkan sebuah buku kenangan, Ristaan Haji, untuk dihadiahkan kepada setiap jemaah haji. 
     
    Majlis tersebut dihadiri kira-kira 500 orang jemputan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda