Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran rai ulang tahun Brunei LNG

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 8 DIS – Brunei LNG Sdn Bhd hari ini mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan ulang tahun penubuhan ke-50 di Masjid Zainab, Lumut.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; Pengurus Besar Kanan Loji Brunei LNG, Haji Mohd Jaafar bin Haji Awang Bakar dan Pemerintah Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei, Perkhemahan Lumut, Leftenan Kolonel Haji Mohd Alimin bin Haji Subohi serta ahli Badan pekerja Islam Brunei LNG dan kakitangan Brunei LNG serta penduduk sekitar Mukim Liang.

    Majlis bermula dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diikuti sembahyang Sunat Hajat bagi kejayaan berterusan dan keselamatan kakitangan syarikat. Bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran turut diadakan yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Didi Normady bin Haji Ahmad. Majlis kesyukuran diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

    Selain daripada meraikan ulang tahun ke-50nya, Brunei LNG juga berharap acara seumpamanya akan mengukuhkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin antara syarikat dan pegawai daerah serta masyarakat Mukim Liang serta berharap kerjasama dan sokongan antara satu sama lain dalam membangunkan negara dan rakyatnya.

    Brunei LNG ditubuhkan pada 9 Disember 1969 dan meraikan jubli emasnya tahun ini.
    Sebagai salah sebuah syarikat gas asli cecair (LNG)tertua di dunia, Brunei LNG terus mengukuhkan lagi wawasannya menjadi penyedia LNG utama dan kompetitif.

    Tetamu kehormat dan orang ramai membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran pada majlis keagamaan meraikan ulang tahun penubuhan ke-50 Brunei LNG.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda