Oleh Nurdiyanah R.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Sunat Hajat sempena ulang tahun ke-15 penubuhannya yang diadakan di Masjid Universiti, baru-baru ini.
Majlis dimulakan dengan Solat Sunat Hajat diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran beramai-ramai, se-terusnya menunaikan Sembahyang Fardu Asar dan diakhiri dengan sumbangan daripada BILIF kepada Masjid Universiti.
Sumbangan berupa penyaman udara mudah alih, pembersih vakum dan alat penyembur air tekanan tinggi tersebut diserahkan oleh pihak BILIF bagi keperluan pengurusan dan penyelenggaraan pihak masjid.
Sehubungan itu, penyerahan sumba-ngan tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BILIF, Awang Afero Eswandy Mohamad kepada Imam Masjid Universiti, Pengiran Muhd Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar selaku bagi pihak masjid.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen BILIF terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memastikan penjagaan ruang ibadah yang selesa dan terjaga.
BILIF, sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di negara ini, sentiasa giat menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan terutamanya dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.