Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Kesyukuran sambut HKK 2019

    Oleh Ak Zaki Kasaharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2019 yang akan diraikan pada 5 Mei ini dengan membawa tema ‘Keluargaku Harapanku’ telah didahului dengan Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran, malam kelmarin.

    Majlis diadakan secara serentak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan di empat buah masjid utama di setiap daerah.

    Di Daerah Belait, masjid tumpuan ialah Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2019.

    Di Daerah Brunei dan Muara, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang tertumpu di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2019. Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

    Sementara itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong di Daerah Tutong ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri,  Awang Salminan bin Haji Burut selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2019.

    Manakala itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi Majlis Kesyukuran di Daerah Temburong yang tertumpu di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman yang juga selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2019.

    Majlis di keempat-empat daerah tersebut dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah, membaca Surah Yasin dan Tahlil.

    Bagi memberkati Sambutan HKK kali ini, Doa Kesyukuran Khas telah dibacakan sebelum diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

    HKK 2019 diadakan bagi meningkatkan kesedaran betapa pentingnya rasa kasih sayang antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga, dengan negara yang mempunyai masyarakat yang keluarganya penyayang, hormat menghormati, saling mendukung dan pemedulian akan dapat menguatkan institusi keluarga ketika menghadapi dugaan dan cabaran hidup sekali gus mewujudkan sebuah negara yang gemilang dan harmoni.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan jemaah lainnya ketika menunaikan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyertai Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan. – Gambar oleh Daniel Lim

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda