Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) serta jabatan-jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Semarak Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41) di Surau, Tingkat 3, Island Block, Bangunan MOFE, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan warga MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 bagi Tahun 2025 sebelum diakhiri dengan solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Bengkurong, Awang Mohd Zahid Zakhwan @ Mohammad Thaib Hasbullah bin Mohd Said.
Semarak Hari Kebangsaan dilaksanakan sebagai salah satu acara sampingan bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41.
Majlis berkenaan antara lain bertujuan bagi memohon ke hadrat Ilahi agar Negara Brunei Darussalam, raja, rakyat dan penduduk serta segala isi di dalamnya dan seluruh teluk rantau dan jajahannya akan terus dikurniakan keberkatan dan sentiasa terpelihara dan diberkati oleh Allah SWT di bawah kepimpinan adil laila bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turun-temurun di atas takhta singgahsana.
Majlis tahun ini dikelolakan oleh Agensi Pelaburan Brunei, MOFE.