Oleh Syahmi Hassan, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 Tahun 1438H/2017M yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi dan ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-33, Tahun 1438H/2017M.
Sejurus keberangkatan, azan Maghrib telah dilaungkan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin.
Baginda Sultan seterusnya berkenan menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
![Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 Tahun 1438H/2017M yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/P1-B_23217.jpg)
![Baginda Sultan berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Hamid.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Page-3a_23217.jpg)
![Doa Kesyukuran dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Page-3b_23217.jpg)
![Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Page-3c_23217.jpg)
Ini diikuti dengan sembahyang sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang seterusnya memimpin bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sementara itu, azan Isyak dikumandangkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh dan sembahyang fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.
Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 Tahun 1438H/2017M juga diadakan di kesemua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid sebagai tumpuan mengikut daerah-daerah seperti Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan bagi Daerah Brunei dan Muara.
Manakala itu, tumpuan di Daerah Belait ialah Masijd Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.
![Sebahagian jemaah yang hadir menyertai Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Page-3d_23217.jpg)
Daerah Tutong pula di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Tutong, pegawai Daerah Tutong, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan orang perseorangan.
Manakala itu di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pengetua-pengetua maktab dan sekolah menengah kerajaan dan bukan kerajaan Daerah Belait, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Belait, pegawai dan kakitangan syarikat-syarikat swasta dan ahli-ahli Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam.
Acara keagamaan ini merupakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana atas kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia, rakyat dan penduduk di negara ini dapat hidup dalam sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.