Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023

    Oleh Yusrin Junaidi –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Bersempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
     
    Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kesukanan), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin dan pegawai-pegawai kanan di KKBS, persatuan dan pergerakan belia, belia-belia masjid, alumni program-program kebangsaan dan antarabangsa, ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Kempen Hari Bertindak sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 dan belia individu serta orang ramai.
     
      Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum Selawat Tafrijiyyah dan diteruskan dengan tazkirah bertajuk Kerja Sukarela, Andai Semua Orang Melakukannya yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Nasyith bin Superi.
     
    Kemudian, majlis diselajurkan dengan bacaan Doa Kesyukuran, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, doa untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin dan Doa Menghindari Wabak COVID-19.
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menghadiri majlis keagamaan sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 di Masjid Ash-Shaliheen, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Majlis turut diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Awang Muhammad Nasyith. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Hari Sukarelawan Antarabangsa adalah mandat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diadakan setiap 5 Disember dan pada tahun ini, ia membawa tema Kerja Sukarela, Andai Semua Orang Melakukannya.  
     
    Selain majlis Doa Kesyukuran itu, sambutan juga diisikan dengan Festival Hari Sukarelawan bermula esok hingga 10 Disember di Hab Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas; Majlis Pelancaran Kempen Hari Bertindak (DoA) dan Penghargaan yang akan diadakan pada 10 Disember dan Maraton Aktiviti Sukarelawan yang telah bermula 20 November lalu dan akan berakhir pada 31 Januari depan.  
     
    DoA pada tahun ini mempunyai sembilan kluster program iaitu Hak Asasi Haiwan, Seni dan Budaya, Masyarakat, Bencana Alam, Pendidikan, Inisiatif Hijau, Keusahawanan Sosial, Kerohanian dan Keagamaan serta Pembangunan Belia.
     
    Lebih 100 aktiviti telah disusun setakat ini bagi DoA 2023 di seluruh negara dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan atau pergerakan belia, organisasi bukan kerajaan (NGO), majlis perundingan kampung (MPK) dan sekolah-sekolah. 
     
    Pendaftaran bagi menyertai aktiviti-aktiviti DoA telah dibukakan bermula 25 September lalu hingga 16 Januari. 
     
    Sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti DoA boleh diperolehi melalui aplikasi Mengalinga serta Instagram @jbs.bn dan @dayofaction.brunei. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda