Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Bersempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah me-ngadakan majlis Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; pegawai-pegawai kanan KKBS; persatuan dan pergerakan belia; belia-belia masjid; alumni program-program kebangsaan dan antarabangsa; ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Kempen Hari Bertindak (DoA) sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024; dan belia individu serta orang ramai.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, diikuti dengan tazkirah bertajuk Kepelbagaian Sukarelawan, Memperkuat Masyarakat yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.
Kemudian, majlis diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah diimamkan oleh pegawai hal ehwal masjid.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin juga diketuai oleh pegawai hal ehwal masjid.
Hari Sukarelawan Antarabangsa adalah mandat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun.
Ia dilihat sebagai peluang unik bagi sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada perdamaian dan pembangunan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk mengintegrasikan sukarelawan ke dalam program pembangunan.
Selain majlis Doa Kesyukuran itu, sambutan juga diisikan dengan Festival Hari Sukarelawan yang akan diadakan esok hingga 8 Disember di Kompleks Sukan Mumong, Daerah Belait; Majlis Sambutan dan Penghargaan DoA 2024 yang akan diadakan pada 8 Disember di Kompleks Sukan Mumong, Daerah Belait; dan Maraton Aktiviti Sukarelawan telah bermula pada 11 November lalu dan akan berakhir pada 31 Januari 2025.
DoA pada tahun ini mempunyai sembilan kluster program iaitu Hak Asasi Haiwan; Kemasyarakatan; Keusahawanan Sosial; Kesenian dan Kebudayaan; Pembangunan Belia; Pendidikan; Inisiatif Hijau; Bantuan Bencana; dan Kerohanian dan Keagamaan.
Lebih 100 aktiviti telah disusun setakat ini bagi DoA seluruh negara dengan melibatkan lebih daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan atau pergerakan belia, organisasi bukan kerajaan (NGO), majlis perundingan kampung (MPK) dan sekolah-sekolah.
Pendaftaran bagi menyertai aktiviti-aktiviti DoA telah dibukakan bermula 12 September lalu hingga 16 Januari 2025.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti DoA boleh diperoleh melalui aplikasi Mengalinga serta Instagram @jbs.bn, @dayofaction.brunei dan @hab.belia.