Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Kesyukuran sempena Jubli Emas 4 Okt ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta memohon perlindungan, kesejahteraan dan keselamatan raja dan negara, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Majlis Keagamaan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta akan diadakan pada hari Rabu, malam Khamis, 14 Muharram 1439 Hijrah bersamaan dengan 4 Oktober 2017 Masehi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan, antara pengisian majlis tersebut ialah Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Al-Waqiah, Surah Al-Mulk, Tahlil dan membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Baginda Sultan Menaiki Takhta.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir ke masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama majlis berkenaan di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada jam 5 petang, di samping beberapa buah masjid yang juga dijadikan sebagai tumpuan mengikut daerah masing-masing.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis tersebut tertumpu di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong, Masjid Mohamed Bolkiah Kampung Serusop, Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong, Masjid Al-Muhtadee Billah Kampung Sungai Kebun, Masjid Setia Ali Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Negara Lambak Kanan.

    Sementara di Daerah Belait pula, tumpuan majlis berkenaan adalah di Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria Daerah Belait.

    Manakala di Daerah Tutong dan Temburong, majlis berkenaan tertumpu di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda