Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STA HB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Memperingati Pengemaskinian Nama Sekolah daripada Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) kepada nama baharu rasmi STA HB, yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar; pengarah-pengarah; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU.
Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran mantan-mantan pemimpin STA HB.
Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan perasmian logo baharu madrasah di ruang lain sekolah berkenaan.
Yang Berhormat Pehin kemudian mengunjungi galeri yang memaparkan sejarah sekolah sejak ia mula ditubuhkan dan seterusnya melancarkan buku Menyingkap Kenangan, Meniti Sejarah di galeri berkenaan.





Di majlis itu, Pengetua STA HB, Hajah Azizah binti Haji Mohammad dalam ucapan alu-aluan antara lain mengongsikan pencapaian dan aktiviti sekolah.
Selain itu, beliau turut menjelaskan perubahan nama sekolah tersebut bukan sekadar perubahan pada sebutan, tetapi satu amanah bagi kesinambungan tradisi ilmu yang telah subur sejak madrasah ini mula digunakan pada awal bulan Mei 1967.
Setelah hampir 60 tahun usia madrasah, katanya, ia terus melangkah dengan melalui beberapa transformasi, membina dan mengasuh serta melahirkan generasi ilmuwan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga kukuh adab, akhlak dan asas keagamaan.
Di samping itu, katanya, ia juga tidak ketinggalan dari segi kemahiran lain sesuai dengan peredaran zaman dan menyentuh dalam bidang akademik pula, pelajar madrasah ini terus menunjukkan prestasi yang membanggakan dari tahun ke tahun hasil usaha gigih guru dan
pelajar.
Majlis turut diisikan dengan bacaan tahlil dan doa bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Awang Mohammad Saiful Wafi bin Haji Adis.
Sejarah penubuhan sekolah berkenaan, upacara peletakan batu asas SMALHB telah disempurnakan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien pada 24 September 1964. Pembinaannya menelan belanja kira-kira $2 juta dan siap pada tahun 1966, sebelum dirasmikan pembukaannya oleh Baginda pada awal Mei 1967.

