Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran sempena Sambutan Hari Guru

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Bersempena Sambutan Hari Guru ke-35, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan, petang tadi, telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri
    Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad serta Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat I Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop, yang turut mengimamkan Sembahyang Fardu Asar berjemaah.

    Sembahyang tersebut diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam lindunganNya serta dianugerahkan kesihatan, kekuatan dan perlindungan berterusan dalam memimpin negara.

    Majlis turut diisikan dengan bacaan Ratib Al-Attas oleh Imam Tingkat III Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Hamdini bin Haji Garip.

    Manakala Doa Kesyukuran serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Awang Zulkifli bin Haji Murad.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; timbalan-timbalan setiausaha tetap; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU dan Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai, guru-guru serta pelajar-pelajar dari sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal di bawah kedua-dua kementerian tersebut.

    Majlis Doa Kesyukuran itu merupakan sebahagian daripada acara keagamaan sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35 yang dikendalikan bersama oleh KHEU dan Kementerian Pendidikan dengan tema Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menyertai majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda