Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran sempena ulang tahun AFSA ke-5

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sejak penubuhannya pada 2020, Aftercare Support Association (AFSA) terus melaksanakan misinya iaitu untuk membantu Rakan Seliaan (RS) menjadi bertanggungjawab dan menyumbang kepada masyarakat serta menjadikan RS mandiri, produktif dan reintegrasi ke arah keharmonian masyarakat.

    Dalam hubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran sempena Penubuhan AFSA ke-5 telah didakan di Pejabat AFSA, Jalan Kebangsaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Hadir sama pada acara, Yang Di-Pertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhammad Jaya, pegawai-pegawai kanan kerajaan, rakan-rakan strategik, ahli-ahli AFSA dan RS.

    Semasa acara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat program serta aktiviti yang dikendalikan oleh AFSA bagi membantu meningkatkan kemahiran para RS.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyaksikan dengan lebih dekat program serta aktiviti yang dikendalikan AFSA. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menghadiri Majlis Doa Kesyukuran di Pejabat AFSA, Jalan Kebangsaan, kelmarin.

    AFSA merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan bukan kerajaan bagi membantu Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam mengurangkan kemasukan berulang-ulang serta melaksana dan menjaga reintegrasi ke arah keharmonian masyarakat.

    Ke arah matlamat menjadikan rakan yang dipercayai reintegrasi dengan jaya, persatuan itu melaksanakan pelbagai program dan latihan termasuk bengkel keberkesanan pemulihan dan integriti oleh pakar Persatuan PENGASIH Malaysia, Rumah Hijau RS iaitu projek bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Pembuatan Bakeri bersama BIBD, Kelas Hafazan bagi RS dengan kerjasama Yayasan dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bengkel dan Khidmat Cuci Kereta AFSA, Gerai Jualan Kuih-Muih di Sumbangsih Mulia Beribi serta penempatan kerja RS dengan rakan strategik yang membuat perjanjian MoU bersama AFSA.

    Menerusi pelbagai program dan latihan yang dikendalikan, AFSA telah mencatatkan kemajuan yang amat membanggakan di mana lima orang RS telah lulus ujian tasme dari Juz 1 ke Juz 5, penempatan kerjaya tetap lima RS sebagai merbut di masjid yang terpilih projek bersama Yayasan dan Jabatan Hal Ehwal Masjid.

    Selain itu, kemajuan lain termasuk dua orang RS melibatkan diri dalam penjualan kuih-muih di Sumbangsih Mulia dan peluang belajar dan penempatan di ekspo Kuala Lumpur serta menaja RS mengaji Al-Quran di Nuqra hingga khatam.

    Berbekalkan harapan dan semangat yang tinggi, AFSA terus berusaha, bekerja keras dan berikhtiar dengan niat ikhlas dalam menanai tugas, amanah dan tanggungjawab bersama-sama dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan, rakan-rakan strategik dan pihak swasta untuk terus membantu RS yang kurang bernasib baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda