Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 252 bakal graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen ke-14 yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.
Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat, dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh bakal graduan KUPU SB yang dipimpin oleh Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune.
Acara diserikan lagi dengan bacaan Takhtim dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Saidin, manakala Doa Selamat pula dibacakan oleh Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf.
Antara lain tujuan majlis itu diadakan adalah untuk menyemarakkan acara-acara bersempena majlis konvo tersebut, di samping menzahirkan rasa syukur atas kejayaan bakal-bakal graduan menamatkan pengajian di kolej berkenaan.
Turut hadir, Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan KUPU SB serta para ibu bapa bakal graduan yang diraikan.
Majlis konvo itu akan berlangsung pada 21 November ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.