Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 3 APRIL – Sempena bulan Ramadan yang mubarak ini, pelbagai acara keagamaan giat dijalankan di seluruh negara lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir ini.
Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong, juga tidak ketinggalan untuk mengungkayahkan Majlis Khatam Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah Seluruh Negara di masjid berkenaan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.
Acara tersebut diadakan untuk meningkatkan lagi amal ibadat bersempena bulan Ramadan terutama sekali melalui pembacaan Al-Quran demi meraih ganjaran pahala berlipat ganda dan kebaikan daripada Allah SWT.
Selain itu, ia juga dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid di seluruh negara.



