Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Khatam Al-Quran sempena Puja Usia

    Oleh Yusrin Junaidi

    KUALA BELAIT, 19 OKT –Jawatankuasa Takmir Bahagian Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, kelmarin, menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran sempena memperingati Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait itu, Isteri Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

    Program membaca Al-Quran sehingga khatam yang dilaksanakan oleh AJK Takmir Bahagian Muslimah masjid berkenaan bermula sejak Januari 2025 bagi memohon kesejahteraan dan kesihatan berpanjangan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

    Antara objektif penganjuran majlis berkenaan adalah bagi menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

    Selain sebagai pesambah istimewa ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

    Ia juga bertujuan meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran dengan membudayakan pembacaan serta menyemai semangat cinta terhadap Al-Quran dan beramal dengannya, di samping mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli kumpulan dari pelbagai agensi di Daerah Belait.

    Gambar atas & bawah, tetamu kehormat menyampaikan sijil Khatam Al-Quran kepada salah seorang peserta khatam yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai diketuai oleh Pengawas Bahagian Muslimah Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Pandan, Dayang Hajah Hamsiah binti Haji Mohd Husain, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.

    Diteruskan dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran, disusuli dengan bacaan surah Ad-Dhuha hingga surah An-Naas beramai-ramai oleh peserta khatam.

    Manakala, bacaan Takhtim dipimpin oleh Dayang Hajah Fatimahwati binti Haji Ahmad, Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Pandan dan kemudiannya, bacaan tahlil dan doa khatam.

    GAMBAR SERAHAN KHEU

    Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban diketuai oleh Muslimah Masjid RPN Kampung Pandan,  Dayang Zainah binti Haji Daud, serta penyampaian sijil penyertaan oleh Tetamu Kehormat kepada ketua-ketua kumpulan.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dayang Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim.

    Turut hadir di majlis itu, isteri-isteri Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, jemputan khas serta para peserta khatam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda