BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Guru-guru dan Penuntut yang disertakan dengan Majlis Berbuka Puasa bersama pegawai-pegawai Jabatan Pengajian Islam (JPI) sempena Ramadan Al-Mubarak bagi tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang diadakan di Surau SUAMPRIPAHS itu ialah Pemangku Pengarah JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Hajijah binti Haji Moktal. Lebih 200 orang penuntut menghadiri majlis berkenaan bersama semua pegawai dan kakitangan sekolah berkenaan serta beberapa orang jemputan khas dari JPI.
Julie Ann Marsh selaku Pembimbing Subjek Matematik dari Projek Bimbingan Literasi dan Numerasi (CfBT dan Kementerian Pendidikan) yang turut hadir majlis itu berkata, ia merupakan kali pertama beliau memakai baju kurung dan bertudung walaupun beliau bukan beragama Islam.
Beliau menyatakan sangat berterima kasih kerana dijemput menghadiri acara berkenaan dan berasa seronok kerana dapat merasai suasana acara keagamaan sebegini di sekolah berkenaan.
Pengetua pertama di SUAMPRIPAHS, Hajah Rusidah binti Haji Talip pula menyatakan perasaan sangat gembira dan bersyukur kerana majlis bersungkai yang pertama kali diadakan di sekolah berkenaan berjalan dengan sebaiknya dan juga amat berterima kasih kepada semua warga sekolah di atas kerjasama padu yang telah diberikan bagi sama-sama mengungkayahkan majlis berkenaan.
